Jumaat, 2 Oktober 2009

Kisah 2 - Rasukan dan Santau , pertegahan 2009


Suatu malam sedang saya makan di restoran, saya dihubungi oleh seseorang yang saya tidak kenal. Apabila saja saya mengangkat telefon, dia bertanyakan jalan untuk datang ke pusat rawatan kami sedang dia memandu. Dalam pada bercakap-cakap dengan orang di talian, saya terdengar suara seseorang yang sedang meraung di dalam kenderaan. Jika sekali imbas saya ingatkan suara itu adalah suara budak menangis tetapi apabila diamati ia lebih mirip raungan atau lolongan. Agak menyeramkan juga.
Saya pun menunggu di pusat rawatan sambil berbual-bual dengan rakan. Tak lama menunggu, datanglah sebuah kereta Toyota Wish berwarna hitam yang penuh dengan penumpang. Kesemuanya lebih kurang 7 orang yang menaiki kereta itu. Setelah bersalam dengan orang-orang yang menaiki kenderaan, saya ternampak seseorang yang berada di tempat duduk di belakang sekali. Kepalanya asyik terteleng-teleng dan dari pintu kereta yang tebuka terdengarlah suaranya yang meraung-raung. Rupanya inilah suara yang saya dengari dari perbualan telefon tadi. Apabila saya teliti dan amati keadaan pesakit, dirasakan ada jin besar yang mengikuti pesakit itu, meremang-remang bulu roma saya dibuatnya semacam dalam peti ais rasanya seram sejuk. Pemandu yang merupakan abang kepada pesakit itu memberitahu bahawa sudah 3 hari adiknya berkelakuan demikian.
Kisahnya, suatu petang adiknya pergi membaiki kenderaan di bengkel. Setelah pulang dari bengkel itu dia mula mengalami demam panas malam itu juga dan keesokan harinya dia terus meracau. Sejak itu dia sudah 3 hari hanya minum sahaja tidak makan sedikit pun. Kebetulan mengenali seorang rakan perawat saya, dialah yang membawa abang pesakit itu datang ke pusat rawatan ini.


Setelah dibawa masuk ke dalam, kami para perawat pun memeriksa pesakit dengan lebih teliti lagi. Pada masa itu kami hanya tahu bahawa pesakit tidak sedarkan diri dirasuk. Berdiri pun terpaksa dipapah. Menggunakan kaedah perubatan kami, terlebih dahulu kami melihat apa yang merasuk pesakit. Salah seorang perawat mempunyai kebolehan pancaindera keenam. Dari itu dia mampu melihat makhluk-makhluk halus yang mengekori pesakit. Dari situlah kami ketahui bahawa kelihatan kelibat yang berpakaian seperti sami kuil dan satu lagi kelibat yang menyerupai ular tedung matanya bersinar berwarna kuning yang sedang mengembangkan tengkuknya.
Disebabkan pesakit dirasuk, maka mudahlah berdialog dengannya. Setelah membaca beberapa potong ayat ruqyah (ayat pembakar), jin pun mula berbicara tanpa disuruh kerana merasa kepanasan. Perkataan yang pertama tentulah
“Sudah jangan baca lagi” jin berkata melalui medium pesakit
“Siapa kamu” tanya seorang perawat
“Aku mahu budak ini” kata jin lagi tanpa memberitahu siapa dirinya
“Kamu dari kuil ya? Tu aku nampak ada sami tengak tengok kat belakang tu”
Jin tidak menjawab, sebaliknya terus berkata
“Aku mahu budak ini, aku mahu dia!” jin mengulangi jawapan ini setiap kali disoal. Disebabkan ‘soal siasat’ tidak membantu, maka perawat pun berkata
“Aku tak mahu cakap dengan kau, panggil ketua engkau!” Jin tadi pun senyap seketika. Seketika kemudian daripada gayanya ketua jin tersebut pula mula bersuara
“Kamu tak boleh lawan aku” kata jin sedikit mendengus
“Oklah kalau macam tu, kalau kamu berani kita lawan” perawat dun mengubah posisi duduk dengan berdepan dengan pesakit dalam keadaan duduk antara dua sujud. Si pesakit pun dalam keadaan bersila mula membuka buah kuntaunya. Tetapi apabila saja dia hendak memukul, jin itu (pesakit) tertolak ke belakang dan ini berlaku agak beberapa kali juga, dan lucunya jin itu tidak berputus asa. Akhir sekali, dia pun mula menukar posisi kepada kekuda duduk mencangkung (kalau itulah perkataannya) dan berbuat seperti sedang ingin membaling sesuatu kepada perawat yang berdepan dengannya. Sama juga hasilnya, dia tetap tertolak ke belakang sehingga terbaring kali ini. Mujur saja ada perawat lain yang menampung belakang pesakit kalau tidak dia pula yang cedera dek kerana kedegilan jin tersebut.

Akhirnya jin tersebut kelihatan terdiam dan tertunduk.
“Kau dah sudah ke?” tanya perawat. In tersebut tidak menjawab tetapi berdiam sahaja walaupun setelah beberapa kali ditanya. Perawat pun mula memberikan cadangan
“Ok lah macam ni, kau ambik balik bahan bisa yang kau letak dalam badan dia (pesakit). Kalau tidak kau nampak tak botol ni?” Botol yang dikatakan itu ialah botol yang mengandungi asid hidroklorik. Telah banyak jin kejam dan zalim yang telah disumbatkan ke dalam botol itu. Lazimnya ia akan terus mati. Melihat ke dalam botol itu, jin menjadi ketakutan. Tanpa berkata apa-apa, jin tersebut melakukan sesuatu yang tidak pernah kami lihat sebelum ini. Jin mula menarik sesuatu dari badan pesakit (secara ghaib) tetapi menarik ke dalam mulutnya kemudian mengeluarkan semula dari dalam mulutnya. Dia berbuat demikian sehingga berpuluh-puluh kali.

Mengikut penglihatan pancaindera keenam salah seorang perawat tadi, apa yang ditariknya itu adalah ular ghaib berbisa yang telah dimasukkan ke dalam tubuh pesakit secara ghaib sehingga menyebabkan pesakit meracau. Sekiranya dibiarkan, kata-kata jin tadi yang mahukan budak itu bermaksud mahu pesakit mati dengan memasukkan ular-ular ghaib ke dalam tubuh pesakit. Sememang bunyinya pelik dan diluar skop saintifik, tetapi kajian saintifik juga tidak dapat melihat zat Allah. Sains hanyalah suatu alasan orang kafir untuk menidakkan Islam pada awalnya, tetapi sains juga telah membuktikan terlalu banyak fakta-fakta di dalam Al-Quran sehingga ramai para cendekiawan telah memeluk islam. Sebarang kesakitan yang disebabkan oleh bahan santau boleh menyebabkan kesakitan yang amat ke tubuh pesakit sehingga ada yang muntah darah serta merta.

Tetapi sebarang serangan sihir tidak pernah dapat diperiksa oleh doktor moden kerana tidak ada satu pun alatan doktor yang dapat mengesannya. Para doktor sudah ada jawapan standard sekiranya ini berlaku, jawapan mereka ialah
“Awak ni terkena serangan hypertension. Oleh itu awak kene banyak berehat”
Jawapan inilah yang biasanya saya dengar apabila tiada penjelasan lain dapat diberikan oleh doktor. Kemudian tentulah pesakit akan diberi ubatan yang berkaitan untuk melegakan otak, walhal kesakitan di tubuh pesakit adalah benar dan boleh memudaratkan malah boleh membunuhnya.

Berbalik kepada kisah tadi, setengah mengeluarkan semua ular ghaib daripada tubuh pesakit, jin santau tadi pun keluar dari tubuhnya. Dari pengamatan kami, masih lagi ada bahan tertinggal di dalam tubuh pesakit. Akhirnya setelah beberapa potong ayat dibacakan, jin yang paling besar pun keluar. Pengamatan perawat berpancaindera keenam tadi kali ini jin yang berbentuk ular tadi pula telah keluar bersemuka. Uniknya, seperti mana ular, tapak tangan pesakit dirapatkan ke depan (seperti menyembah) dan meliuk lentok seperi gaya derakan ular. Memang unik dan bergaya juga penampilannya sehingga kami para perawat memuji gayanya yang memang lain dari yang lain.
“Kau siapa pulak?” tanya seorang perawat
“Aku ketua jin, paling besar di kuil” kata jin melalui pesakit yang dirasuknya.
“Aku tak takut dengan engkau, aku takkan lepas budak ini” kata jin dengan angkuhnya
“ok baik. Macam nil ah. Kita lawan satu sama satu. Kalu kau menang, kau ambiklah budak ini dan buatlah ikut suka, bawak lari ke apa ke” jelas perawat
“tapi kalau kau kalau, kau kena ambik semua bisa dalam badan dia dan lepaskan dia” sambung perawat lagi. Jin itu pun tak membuang masa cuba membuka buah silatnya. Tanpa sembat berbuat apa-apa, si perawat terus menyerang dengan menunjukkan aksi menikam ke arah jin, dengan sekonyong-konyong jugalah jin tadi terus menjadi lembik, terlentok dan terdiam. Menurut penglihatan perawat dengan pancaindera keenam tadi, jin itu telah mati. Matanya tidak lagi bercahaya dan tenguknya juga tidak lagi kembang sebaliknya kelihatan seperti terlantar tidak bergerak lagi. Nyatalah jin tadi terus maut terkena serangan si perwat yang berlawan dengannya tadi. Setelah setengah jam lagi mengeluarkan bisa-bisa ghaib yang tertinggal di dalam tubuh pesakit, pesakit sudah mula dapat mengawal sedikit tubuh badanya. Ini kerana seperti orang yang baru bangun dari tidur, kawalan pssakit ke atas badannya sendiri belum diperoleh sepenuhnya dek rasukan jin tadi. Sebelum bertolak pulang, pesakit diberikan ramuan dan beberapa doa untuk diamalkan semasa mengambil ubat nanti. Ubatan itu berguna untuk mengeluarkan lagi bahan yang terdapat di dalam tubuh pesakit yang telah bertukar ke bentuk fizikal. Setelah itu pesakit dan kesemua yang menemaninya datang tadi pun pulang.

Selepas 4 hari kemudian, pesakit sekali lagi muncul bersama beberapa orang lain, Kali ini dia telah kelihatan siuman dan berkeadaan seperti normal. Saya bersyukur melihat keadaan beliau seperti itu. Bagaimanapun, semasa melakukan rawatan tempohari, perawat yang mempunyai pancaindera keenam itu ternampak penyebab pesakit sehingga menjadi demikian. Pada petang semasa beliau menunggu di bengkel, kebetulan sebelah bengkel terdapat sebuah kuil. Pesakit dilihat oleh perawat itu membaling batu ke arah kuil tersebut. Kerana itlah jin kuil tersebut berdendam yang akhirnya bertindak seperti yang diceritakan. Sesungguhnya Allah telah melarang kita daripada menghina agama lain. Nyata sekali perbuatan pesakit telah melanggar larangan tersebut. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah yang panjang lebar diceritakan dan sentiasalah berlindung darpada Allah terhadap gangguan makhluk-makhlus halus. Wallahu’alam.

Khamis, 1 Oktober 2009

Kisah 1 - Santau Pengasih, pertengahan 2009


Suatu malam lebih kurang dalam pukul 10.30, telefon saya berdering ditelefon oleh no 017. Setelah diangkat seorang lelaki berada di hujung talian mengenalkan dirinya sebagai Mat. Dia tinggal di Port Kelang. Dia mengatakan isterinya kerasukan. Apabila saya teliti danamati apa diceritakannya, didapati ada kawan satu tempat kerja dengan isterinya suka kepadanya dan telah menggunakan ilmu hitam yang dinamakan santau pengasih. Santau pengasih ini banyak cara yang boleh digunakan, melalui minyak, pemujaan, menggunakan rambut ataupun kuku salah satu dari anggota badan dan boleh juga menggunakan pakaian si mangsa. Kalau diikutkan daripada ceritanya, banyak kejadian aneh telah berlaku kepada mereka. Salah satu daripadanya, ini menyebabkan mangsa tunduk kepada pemakainya. Pada waktu malam, mangsa akan mengingati, memikirkan orang yang memakainya. Ini juga mnenyebabkan tanda tanya juga kepada mangsa iaitu kenapa dan mengapa dia mangsa teringat kepada pemakainya. Sebenarnya di sebalik sapuan minyak pengasih itu adalah perbuatan jin yang dipuja oleh pemakai yang menyebabkan mangsa teringat kepada si pemakai sehingga begitu sekali. Minyak itu adalah sebagai syarat untuk menandakan itulah mangsa yang dimaksudkan oleh pemakai ilmu ini, untuk jin itu bertindak seterusnya terhadap mangsa.

Kesan terhadap penggunakan santau pengasih ini akan menyebabkan kekacauan fikiran si mangsa yang akan menyebabkannya menjadi tidak tenteram, sekaligus menyebabkan keluarga menjadi kucar kacir, tidak sefahaman, sentiasa bertelagah, tak boleh bertemu dan ada sahaja yang tidak kena. Sekiranya ada kekasih, ia akan menjadi syak wasangka yang tidak sepatutnya dan merasa diri mangsa dipermainkan kekasihnya. Apabila berlaku keadaan ini, si pemakai akan menangguk di air keruh sebagai pihak yang kononnya ingin memperbaiki keadaan, walhal sebaliknya. Manusia ini rambut sahaja sama hitam, tetapi hati lain-lain. Dari itu berhati-hatilah meletakkan kepercayaan kita kepada kenalan kita walaupun dia adalah kawan baik sekalipun. Terlalu banyak saya telah saya dengar kisah kawan-makan kawan dalam perubatan yang saya lakukan ini. Sememangnya kasihan tetapi setiap yang berlaku ada hikmahnya yang ingin ditunjukkan oleh Allah SWT kepada mangsa.

Saya bersyukur kepada Allah swt kerana telah mengurniakan ilmu yang saya miliki ini. Di samping dapat mempertahankan diri dan keluarga, saya mampu juga untuk membantu insan lain yang memerlukan pertolongan. Sekurang-kurangnya bertambahlah sedikit kalaupun tidak banyak bekal untuk hari akhirat saya nanti.

Berbalik kepada kisah tadi, untuk senario pesakit seperti ini, pertama sekali apa yang saya lakukan ialah dengan memberi nasihat atau langkah awal untuk bagaimana menangani sihir atau bertahan terhadap perbuatan sihir terlebih dahulu. Untuk pusingan pertama rawatan, biasanya pesakit tidak akan mahu untuk bertemu kerana hatinya (pesakit) akan merasa ragu-ragu dengan apa yang dialaminya. Untuk ini, apa yang saya lakukan ialah dengan melakukan rawatan jarak jauh terlebih dahulu. Rawatan jarak jauh ini sebenarnya adalah tindakan awal untuk melumpuhkan sihir atau ilmu hitam (jin pengasih) terlebih dahulu yang telah mencengkam hati pesakit. Langkah ini bagi membolehkan hati pesakit lama-kelamaan akan tenang dan terbuka untuk datang untuk dirawat.

Keesokan harinya selepas waktu Asar pintu rumah saya diketuk oleh seseorang. Dengan izin Allah Mat rupanya yang telah datang bersama isteri dan beberapa ahli keluarganya yang lain. Saya pun mempersilakan mereka masuk dan menghidangkan air kopi. Setelah membuka bicara, mereka pun terus bertanyakan tentang penyakit yang menyerang si mangsa. Setelah itu saya pun ceritakanlah serba-sedikit apa yang mereka patut tahu. Walaupun tahu siapa si pembuat sihir tersebut, tetapi saya tidak pernah menceritakannya kerana untuk mengelakkan fitnah dan kemudaratan yang lain. Setelah itu saya pun menceritakan kedah rawatan kepada si pesakit dan ramuan ubatan disediakan berserta doa-doa yang perlu dibaca pesakit semasa mengambilnya. Mudah-mudahan, dengan izin Allah SWT, bahan-bahan sihir dan bisa santau dan bahan-bahan kotor di dalam badan pesakit akan keluar melalui muntah ataupun membuang air besar ataupun kecil. Dengan izin Allah SWT juga, biasanya kesemua bahan sihir tesebut akan dineutralkan selepas mengambil ubatan ramuan tersebut dengan sekali ambil sahaja. Ubatan ramuan yang saya berikan tidak ada pantang larang apabila mengambilnya cuma tidak boleh dilangkah sahaja kerana bahan ubatan tersebut telah didoakan. Ubatan diberikan juga tidak perlu pemati ubat. Bagaimanapun, setiap orang yang telah terkena sihir, biasanya akan mendapat penyakit fizikal juga akibat bahan santau telah merosakkan tisu tisu badan. Oleh itu, ia juga memerlukan rawatan ubatan hospital juga untuk memulihkannya.

Selang beberapa hari, Mat menelefon saya, isterinya sekarang juga kembali seperti sediakala. Perhubungan meraka menjadi semakin bahagia. Di sebalik kebahagiaan yang dikecapi oleh Mat dan isterinya, si pengamal sihir pula sudah putus asa kerana perbuatan sihirnya telah dirasakan tidak menjadi lagi. Itulah lumrahnya ilmu yang bertentangan dengan Islam, kuat manalah jin makhluk Allah menentang untuk menentang penciptanya. Sesungguhnya, Allah adalah sebaik-baik pembalas kejahatan.

Wallahu’alam.